Tuesday, July 22, 2008

Apa perlu penjelasan diberikan PAS pada DAP?

Umum mengetahui percakaran politik diantara BN dan PR belum lagi berakhir. Senario sekarang ini membuatkan rakyat pening kepala, yang mana satu yang hendak difikirkan. Dengan kenaikan harga minyak yang mengheret secara paksa kenaikan harga barang-barang keperluan yang lain, meningkatnya kos hidup yang amat memeritkan rakyat masa ini belum lagi dapat diselesaikan oleh pihak yang berwajib. Gaya hidup sudah diubah, perbelanjaan sudah dijimatkan seminima mungkin sehingga ada keluarga yang mungkin terpaksa mencatu makan minum keluarga mereka, sengsara rakyat nyata masih belum difahami oleh pemerintah. Terlalu banyak isu dan masalah yang terpaksa ditelan rakyat negara ini dari segi ekonomi dan politiknya. Dari isu Anwar Ibrahim dengan KPN dan Peguam Negara, isu liwat yang juga membabitkan Anwar yang sehingga kini masih belum dapat dipastikan siapa yang betul dan siapa yang salah. Kesediaan saiful untuk bermubahalah dipandang sepi oleh Anwar. Tak ketinggalan juga isu Najib dan wanita Mogolianya. Berbanding Anwar, Najib telah pun bersumpah bahawa beliau memang tidak mengenali siapa Altantuya. Ia atau tidak, benar atau salah bukanlah persoalannya bagi aku, yang penting sumpah yang telah diucapkan oleh Najib telah memberi sedikit keyakinan pada aku yang beliau betul-betul tidak mengenali wanita itu. Sekiranya beliau tipu maka nantikanlah sahaja pembalasannya nanti. Dan sehingga sekarang aku masih tertanya-tanya mengapa Anwar masih belum dan tidak mahu bersumpah bahawa dia tidak ada melakukan perkara itu dengan bekas pembantunya itu. Kenapa? Dan mengapa? Keterangan si saiful itu jugak meragukan aku, dia telah mendakwa diliwat beberapa kali oleh saudara Anwar dan mengapa setelah beberapa kali baru nak buat report, mengapa tidak pada kali pertama kena terus buat report. Dan sebagai seorang yang waras dan boleh berfikir secara logiknya aku juga hairan mengapa begitu mudah Anwar hendak meliwatnya jika dia tidak sama-sama mahu melakukannya kerana jika dilihat secara fizikalnya dia lebih tinggi dari Anwar, lebih muda dan bertenaga sudah pastilah dengan mudahnya dia boleh menepis segala tindakan Anwar terhadapnya, mengapa direlakan sahaja. Aku pening... dan tak mampu nak memikirkannya. Biarlah polis sahaja yang menyiasat dan berikir macamana nak selesaikan kes ini dan aku tak mahu mengeluarkan kenyataan yang boleh dilihat sebagai mencampuri urusan siasatan polis. Saiful mahu bersumpah yang dia telah diliwat Anwar.. bagaimana pula dengan Anwar, mahukah dia bersumpah bahawa dia tidak melakukan perbuatan itu? Biarlah masa sahaja yang menentukannya nanti. Tutup cerita Anwar dan Saiful lain kali cerita lagi... Terbaru isu yang sedikit menggusarkan ahli-ahli Pas dan mungkin juga ahli-ahli Umno, isu muzakarah antara Pas dan Umno. Pertemuan pemimpin tertinggi Pas dengan Pak Lah itu nyata mengundang rasa tidak puas hati DAP. Terbaru Pengerusi DAP, Karpal Singh meminta penjelasan diberikan oleh Pas kepada parti2 yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat tentang pertemuan antara Pas dan Umno. Sudah dinyatakan sebelum ini pertemuan itu adalah untuk membincangkan mengenai kepentingan umat Islam dan orang-orang Melayu di negara ini jadi apa perlunya penjelasan diberikan kepada DAP sedangkan mereka bukanlah sebuah parti yang mewakili umat Islam dan orang melayu. Aku amat pasti sekali Pas tidak membincangkan isu politik dengan Umno di masa pertemuan itu. Ini adalah untuk kepentingan orang-orang melayu Islam di negara ini, ada wajarnya kita menyokong muzakarah itu jika matlamatnya benar untuk kepentingan agama Islam dan orang Melayu. Mungkin ada diantara ahli-ahli PAS yang sedikit meragui keikhlasan Umno untuk berbincang dengan PAS dan takut sekiranya Umno hanya berniat untuk mempermainkan dan mempergunakan PAS untukm terus survive dan releven di dalam arena politik tanah air memandangkan Umno pernah melakukannya semasa PAS menertai BN di awal 70'an dulu. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah berkata bahawa PAS tidak sepatutnya dipatuk oleh ular yang sama dalam lubang yang sama. Aku amat yakin kepimpinan tertinggi PAS sekarang amat berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan bagi mengelakkan ahli-ahli PAS seluruh negara merasa tidak selesa dengan tindakan dan keputusan yang diambil oleh mereka. Moga-moga pisang tidak akan berbuah 2 kali. Hidup Tok Guru...

Thursday, July 17, 2008

Apakah engkau masih hidup sebulan lagi

Suatu ketika, putera Amirul Mukminin Sayadina Umar al-Khattab pulang dari sekolahnya dalam keadaan menangis. Umar bertanya, "Apa yang menyebabkan engkau menangis, wahai anakku?" Jawab anak Umar itu, "Kawan-kawan di tempat pengajian menghitung tampalan pada bajuku. Mereka berkata, lihatlah anak Amirul Mukminin ini, berapa tampalan yang ada di bajunya?"
Umar sendiri melihat terdapat 14 tampalan dan sebahagiannya ditampal dengan kulit haiwan. Lantas Umar menulis surat kepada Bendahari Negara dan di dalam surat itu beliau merayu,"Berilah hutang empat dirham kepadaku dari wang baitulmal. Apabila datang awal bulan nanti potonglah gajiku."
Bendahari Negara membalas surat Umar itu dengan mengatakan,"Wahai Umar, apakah engkau menjamin hidupmu sampai satu bulan sehingga aku dapat meluluskan permohonanmu itu? Apakah yang akan engkau perbuat dengan wang Baitulmal itu jika engkau mati sedang wang itu masih dalam tanggunganmu?"
Setelah membaca surat balasan dari Bendahari Negara, Umar pun menangis dan berkata kepada puteranya," Wahai anakku, pergilah ke tempat pengajianmu kerana aku tidak dapat menjamin nyawaku walaupun sesaat."
Pada pendapat kita la kan sekarang ni ada ke pemimpin yang mempunyai sifat dan kejujuran yang ditunjukkan oleh Sayadina Umar al-Khattab ini... Kalau ada pun mungkin Mahmoud Ahmadinejad pemimpin ulung Iran. nak harap pemimpin dalam negara ni.. Ermm ntah la. Kita pikir la sendiri.

Tuesday, July 8, 2008

'Reality check' buat Abdullah

Kehadiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di persada kekuasaan negara mulai 31 Oktober 2003, amat dialu-alukan oleh rakyat Malaysia.
Imej Abdullah yang bersih, warak dan mesra sungguh menawan hati nurani mereka. Tekad Abdullah membanteras rasuah secara habis-habisan menambat minat semua pihak.
Cita-cita Abdullah menjadikan negara-bangsa Malaysia cemerlang, gemilang, terbilang disokong sepenuhnya oleh pihak kawan dan lawan.
Rekod kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencatatkan lonjakan paradigma dalam hampir semua aspek kehidupan rakyat dan kemajuan negara pula menjadi asas paling kukuh untuk membolehkan Abdullah mencartakan kejayaan demi kejayaan di hari muka.
Lantaran itulah BN dalam fasa awal kepimpinan Abdullah mampu merangkul kejayaan paling bersejarah menerusi PRU 11 pada 20 April 2004.
Tetapi, hanya kira-kira dua tahun sesudah itu, kepimpinan Abdullah seolah-olah mula menjanjikan satu era yang malang dalam sejarah BN, Umno dan negara. Antara puncanya adalah imej Abdullah yang mulai luntur. Hakikat ini jadi semakin ketara bila isu ECM Libra yang membabitkan menantunya, Khairy Jamaluddin, mulai diperkatakan secara meluas oleh rakyat jelata di seluruh tanahair.

'Reality Check'

Lain-lain faktor yang menyebabkan Abdullah tidak lagi diyakini oleh rakyat jelata boleh dipastikan menerusi 'reality check' ke atas Abdullah dan kepimpinannya seperti berikut:
Sewaktu mula berkuasa, Abdullah menyanjung tinggi jasa dan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Hari ini bagaimana?
Adakah rakyat masih percayakan kata-kata Abdullah bahawa beliau tidak mahu mencari "harta bertimbun-timbun untuk hidup kaya" atau "wang berjuta-juta untuk hidup bergaya"?
Sewaktu mula berkuasa, Abdullah memperkenalkan apa yang beliau katakan sebagai Islam Hadhari. Insafkah Abdullah bahawa termonologi ini kini sudah jadi bahan jenaka dan amat mengecewakan sebilangan umat Islam?
Pada ketika ini, benar-benarkah Abdullah mahu mencari "mana dia Al-Ghazali" dan "mana dia Al-Shafie"? Benar-benar jugakah Abdullah mahu "bongkar rahsia kitab suci, cari pedoman dan bongkar rahsia sunnah Nabi, cari panduan"?
Sewaktu mula berkuasa, Abdullah mengatakan beliau tidak mahu dikelilingi oleh manusia pembodek. Hari ini bagaimana? Abdullah juga mahukan para pegawai peribadinya bersikap mesra rakyat. Hari ini bagaimana?

Dolak-dalik

Benarkah Abdullah tidak berdolak-dalik? Jambatan Bengkok? Kenaikan harga minyak? Kontroversi "wanita ketuk-ketampi"? Kisah cintanya yang dinafikan tapi kini jadi realiti?
Abdullah ghairah mahu membanteras rasuah, kronisme dan neopotisme. Ini dimanifestasikan dalam manifesto BN bagi PRU11. Kini bagaimana? Kisah ECM Libra bagaimana? Mengapakah manifesto PRU12 tidak sebut langsung soal anti-rasuah?
MV Agusta dibeli oleh Proton dengan harga RM500 kenapa dijual dengan harga RM4.00? Sampai sekarang kenapa tidak ada jawapan yang telus mengenai hal ini?
Pada tahun 2007, Abdullah mengumumkan perangkaan ekonomi negara yang trillion ringgit jumlahnya untuk menggambarkan kepimpinan beliau lebih baik daripada Mahathir. Kenapa kesannya tidak dirasai oleh rakyat bahawan?
Abdullah amat marah dengan pemimpin Hindraf yang menuduh Umno melakukan mini-genocide ke atas kaum India dan kerana mereka mendesak komuniti antarabangsa memansuhkan Perlembagaan Persekutuan yang kononnya tidak adil kepada semua pihak? Kenapa pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA tidak disiasat serapi-rapinya?
Hanya beberapa hari menjelang hari pembuangan undi bagi PRU12, Abdullah mendabik dada bahawa BN akan menang besar? Hari ini bagaimana?
Bukankah keputusan PRU12 merupakan mesej daripada rakyat jelata bahawa beliau wajar mengundurkan diri daripada persada kekuasaan kerajaan dan politik?

Post-mortem

BN dan Umno kalah teruk dalam PRU12. Mengapakah Abdullah enggan adakan satu post-mortem menyeluruh mengenai kekalahan ini?
Mengapakah tuduh warga Umno mensabotaj parti dalam PRU12? Apa bukti nyata mengenai hal ini jika tiada post-mortem mengenainya?
Salahkah bila Mahathir mengatakan bahawa beliau keluar meninggalkan Umno mulai 19 Mei 2008, kerana Umno kini hanya mempertahankan Abdullah dan bukannya berjuang demi agama, bangsa dan tanahair?
Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan melakukan peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Bila? Dan, mengapakah beliau akan terus mengekalkan jawatan Presiden Umno?
Sewaktu jadi Timbalan Perdana Menteri, Abdullah membidas Singapura kerana mempolitikkan isu air dengan Malaysia. Hari ini kenapa tangguhkan semua isu tertunggak dengan Singapura, termasuk perundingan mengenai tariff air yang baru?
Malaysia enggan jual pasir kepada Singapura untuk jadikan pulau itu dua kali lebih besar daripada saiznya hari ini. Kenapa Abdullah wujudkan Iskandar Malaysia yang dua kali saiz Singapura kononnya untuk kepentingan rakyat Malaysia?
Kenapa hapuskan semangat DEB untuk Bumiputera menyertai aktiviti ekonomi dan pembangunan di Iskandar Malaysia?

Halliburton

Halliburton sebuah syarikat minyak yang membabitkan diri dalam perang di Iraq dan segolongan pekerjanya didakwa terbabit membunuh rakyat Iraq. Kenapakah izinkan syarikat ini melabur di Iskandar Malaysia?
Telekomunikasi adalah industri strategik sesebuah negara. Kenapa izinkan syarikat Singapura melabur dalam Telekom Malaysia?
Di era Mahathir, kapal perang Amerika Syarikat yang membawa senjata nuklear tidak boleh lalu Selat Melaka. Hari ini kenapa boleh dan mengapa kapal itu juga diizinkan berlabuh di Pelabuhan Kelang?
Menteri Luar mengatakan bahawa team Pulau Batu Puteh sudah membuat persediaan sejak berpuluh tahun lamanya. Bila Malaysia kehilangan kedaulatan Pulau Batu Puteh, kenapa tidak adakah siasatan terperinci di atas kekalahan yang jelas berasaskan keputusan political?

'Regime Change'

Berasaskan 'reality check' di atas, salahkah jika rakyat jelata mempunyai persepsi negatif terhadap Abdullah pada hari ini? Salahkah jika rakyat jelata mengatakan Abdullah seolah-olah dalam keadaan 'out-of-control' dan dibelenggu sindrom penafian yang panjang.
Rakyat jelata semakin resah gelisah kerana Abdullah terus memimpin negara. Kestabilan politik tanahair pula nampaknya sedang menuju ke suatu arah yang mungkin parah dan mendebarkan.
Dalam situasi begini, wajarkah Abdullah menuduh bloggers sebagai antara faktor yang menyebabkan politik negara tidak stabil?
Sebaliknya, bukankah faktor utama yang menyebabkan politik negara tidak stabil mutakhir ini adalah keengganan Abdullah menerima hakikat dan realiti bahawa kepimpinan beliau sudah tidak lagi diyakini oleh majoriti rakyat jelata Malaysia?
Sedarkah Abdullah bahawa menurut satu poll yang dilakukan oleh lamanweb Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo bar-baru ini, seramai 88 peratus responden mahukan pucuk kepimpinan negara ditukar atau negara ini memerlukan 'regime change'?
Demikianlah 'realiti check' mengenai Abdullah. Moga-moga beliau insaf akan hakikat ini. Demi agama, bangsa dan tanahair, segeralah berundur daripada persada kepimpinan kerajaan dan parti secara terhormat.
Serahkanlah tampuk kepimpinan negara dan parti kepada orang yang lebih layak (dan tentunya orang itu bukan Najib). Insya-Allah, politik negara kembali stabil, ekonomi akan berkembang, rakyat jelata tidak lagi resah gelisah malahan akan dibela dengan sewajarnya.